Monday, January 20, 2020

Rutin pagi bersama anak



Tanggungjawab ibu bapa sangatlah penting dalam pembesaran anak-anak. Tugas ibu bapa bukan sekadar memberi makan minum, perlindungan dan tempat tinggal tetapi juga memberi pendidikan yang terbaik, sebagai role model terbaik dan memupuk sifat-sifat murni dalam diri anak-anak.

Kita sebagai ibu bapa juga sangat berperanan penting dalam membentuk adab dan tingkah laku anak-anak. Sentiasalah beri tunjuk ajar, panduan dan nasihat kepada anak-anak dalam menjalani kehidupan harian.

Sebagai ibu yang tidak bekerja, saya mengambil peluang bermula seawal pagi menerapkan amalan harian kepada anak saya. Saya cuba manfaatkan masa bersama anak di dalam kereta sewaktu menghantar nya ke sekolah.

Masuk sahaja ke dalam kereta, Ayra sudah tahu apa yang perlu dibuat. Saya hanya perlu ingatkan, "Baca doa." Atau tanya Ayra, "Dah baca doa?". Kadang jawapannya sekejap, belum, atau tengah baca.

1) Apabila masuk dalam kereta , Ayra akan mula dengan doa keluar rumah.

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
(Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuatan Allah)

2) Kemudian Ayra akan baca doa menaiki kenderaan.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ. سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ. (al-Zukhruf 13-14)
(Segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami,sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya)

3) Selepas itu Ayra baca Al Fatihah 3 kali.
Al Fatihah pertama Ayra hadiahkan kepada junjungan besar Rasulullah dan kaum kerabat baginda

Al Fatihah kedua Ayra hadiahkan kepada kedua ibu bapanya dan adik beradik dan diri sendiri.

Dan Al Fatihah ke tiga Ayra hadiahkan kepada muslimin muslimat yang hidup dan yg telah meninggal dunia.

4) Habis Al Fatihah Ayra berniat.
"Ya Allah, aku mulakan segala perbuatan aku pada hari ini dan keseluruhan hidup aku dengan
    -بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ-
Kau pandulah dan gerakkanlah segala perbuatan aku ke arah yang bermanfaat dan Kau jadikanlah ia amal soleh."

5) Saya pesan supaya Ayra baca ayat kursi sebagai pelindung diri.

6) Ditambah lagi dengan doa memohon perlindungan dan pengawasan dari Allah

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلا فِي الْسَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.    
(Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui.)

Tak habis lagi.

7) Doa seterusnya yang Ayra baca ialah doa belajar.

Allahummanfa'na bima 'allamtana wa 'allimna ma yanfa 'una wa zidna ilma.

(Ya Allah, berilah manfaat kepada kami dengan apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami dan ajarkanlah kepada kami apa yang mendatangkan manfaat
Sahaja kepada kami dan tambahkanlah kami ilmu)

8) Saya juga ingatkan Ayra supaya sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW paling kurang 10 kali supaya di akhirat nanti Nabi akan kenal kita dan beri syafaat kepada kita. InsyaAllah.

9) Ayra juga baca : 
 “Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi Muhammadiin Nabiyya Wa Rasula” 

(Aku Ridho Allah Subhanahu wata'ala sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Muhammad Shallallahu alaihi wasallam sebagai nabi dan rasulku). 

IKRAR  untuk dapat meraih Ridho Allah. 

10) Alhamdulillah Ayra juga sudah hafal doa Abu Darda sebagai perlindungan diri, keluarga dan harta benda.

Doa ini bermaksud,
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan bagiku kecuali hanya Engkau.Pada-Mu aku bertawakkal, dan Engkau Tuhan Arasy yang agung.Apa yang dikehendaki Allah pasti terjadi,Dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti pula tidak akan terjadi.Tiadalah daya upaya dan tiada pula kekuatan kecuali hanya dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.Aku yakin, bahawasanya Allah berkuasa atas segala sesuatuDan bahawasanya Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmunya.Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan dirikuDan dari kejahatan segala makhluk yang melata, Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya.Sesungguhnya Tuhanku sentiasa berada di jalan yang lurus.

Doa ini  telah diajarkan kepada Abu Darda oleh Rasulullah S.A.W.
Didalam suatu riwayat dikatakan bahawa beliau dimaklumkan oleh seseorang yang rumah beliau sedang terbakar. Abu Darda r.a dengan yakin mengatakan yang rumahnya tidak terbakar, kerana menurut beliau Rasulullah S.A.W telah mengajarkan beliau satu doa yang kalau dibaca selepas Subuh, si pembaca akan terselamat dari semua bala dan musibah sehingga waktu petang.
Boleh diamalkan selepas subuh dan selepas asar agar diri kita, ahli keluarga dan harta dipelihara oleh Allah.
Sampai sahaja di sekolah kami akan bersalaman. Saya peluk Ayra dan bacakan 2 doa untuknya sambil pegang ubun-ubunnya.

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

Allahumma faqqihha fiddin wa a'llimhattakwil
(Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil)

dan  ayat surah Al Mulk 67:14

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ‌ ﴿١٤

(Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!)

Ayat ini khasiatnya supaya anak kita tajam kuat akal fikiran dalam memahami menghafaz dan mengingati pelajarannya.

Doa adalah senjata kita. Semoga dengan doa-doa yang diamalkan menjadikan kebergantungan diri kepada Allah melebihi segala-galanya.

Selaku hamba, kita sentiasa memohon perlindungan dari Allah swt dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.

Kita tidak dapat menjaga dan mengawasi anak kita setiap masa maka kepada Allah Ya Hafidz Ya Muhaimin jualah kita berharap.

Semoga anak-anak kita sentiasa dalam pengawasan dan lindungan Yang Maha Esa.

Allahhumma Aamin.

Sunday, January 19, 2020

Pengalaman Dan Kisah Berurut



Tubuh badan kita adalah amanah dari Allah. Kita bertanggungjawab untuk memastikan tubuh badan kita sihat dan mengamalkan cara hidup sihat. Dengan tubuh badan yang sihat, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kehidupan dan agama dengan lebih sempurna.

Penjagaan badan dan kesihatan bagi wanita adalah sesuatu yang penting. Selain mengamalkan pemakanan yang sihat, mengambil makanan tambahan dan bersukan, berurut juga salah satu penjagaan tubuh yang penting untuk wanita.

Berurut merupakan salah satu kaedah perubatan alternatif untuk melancarkan aliran darah di dalam salur darah bagi melegakan kesakitan. Sejak remaja saya sudah biasa dengan urut badan tambahan pula nenek saya seorang tukang urut dan bidan kampung.

Banyak kenangan dengan arwah nenek. Teringat ketika kaki saya terseliuh kerana jatuh dari basikal, neneklah yang mengurut saya. Pernah juga di satu pagi raya kaki saya tersadung gunting kain makcik saya yang juga seorang tukang jahit. Darah banyak keluar di tapak kaki, nenek cepat-cepat tekan tapak kaki saya, letak minyak dan terkumat-kamit mulutnya membaca doa. Selepas seketika darah pun berhenti, nenek balut kaki saya dan dapatlah saya berbasikal keliling kampung berhari raya dan kutip duit raya.

Pertama kali bertindik juga dengan arwah nenek. Hanya dengan menggunakan jarum dan benang jahit. Arwah nenek urut-urut di tempat yang hendak ditindik sambil baca doa dan kemudian menyucuk tempat tersebut dengan jarum. Sekejap sahaja sudah selesai tanpa berdarah. Itulah antara kenangan dengan arwah nenek. Namun, saya tidak sempat berurut dengan arwah nenek selepas bersalin kerana arwah nenek telah pergi meninggalkan kami ketika saya masih belajar di kolej.

Saya mula berurut dengan tukang urut selain arwah nenek saya selepas melahirkan anak yang pertama. Kebiasaannya wanita akan menggunakan khidmat tukang urut semasa di dalam pantang untuk memulihkan tenaga, menghilangkan ketidakselesaan dan sakit badan selepas melahirkan, menggalakkan pengeluaran susu dan melancarkan perjalanan darah.

Sejak itu saya kerap berurut dan bertukar tukang urut. Bermacam ragam tukang urut dan cara urutan sudah saya rasai. Sehinggalah 2 tahun lepas setelah saya diperkenalkan dengan makcik Mashitah seorang tukang urut di Kampung Jawa, Klang, saya sudah tidak bertukar tukang urut lagi. Hampir setiap bulan saya akan memandu ke Klang untuk mendapatkan khidmat makcik Mashitah.

Saya sangat berpuas hati dengan urutan makcik Mashitah. Alhamdulillah, dengan izin Allah banyak masalah urat saraf yang saya alami sembuh dengan teknik urutan makcik . Makcik tidak mengambil masa yang lama untuk urut setiap orang pelanggannya.  Namun masa setengah jam berurut dengan makcik sudah cukup membuatkan pelanggannya merasai kelainan pada tubuh mereka.  Makcik mengurut dengan memberi fokus kepada urat saraf yang bermasalah. Makcik juga tahu bahagian mana yang wajar diurut dan urat yang berkaitan dengan kawasan yang sakit. Selain berurut, ada disediakan sauna dan lulur badan.

Hasil bacaan saya mendapati bahawa cara urutan yang digunakan makcik adalah cara yang betul.
Artikel yang saya baca memberi tips cara mengenali tukang urut yang berpengalaman. Jika tukang urut itu seorang yang berpengalaman luas dalam ilmu perurutan, dia akan sentuh 4 tempat penting semasa berurut iaitu :
1) perut
2) punggung
3) celah kangkang
4) bawah ketiak

Di bawah saya senaraikan antara sakit urat yang saya alami dan telah sembuh dan berkurangan sakitnya sejak berurut dengan makcik Mashitah:
1) terlampau banyak angin di dalam badan -kerap sengal dan lenguh badan.
2) selalu sakit leher sehingga leher tidak boleh digerakkan
3) selalu sakit di bahagian tulang belikat
4) urat terkehel di bahagian kaki kerana pernah terjelepok jatuh ketika sedang mendukung anak tahun 2012
5) pernah demam urat ketika dalam pantang anak kedua (bentan) 2001
6) pernah tiba-tiba cramp badan tidak dapat bergerak ketika sedang mencuci pinggan 2017
7) tangan tak sampai untuk zip baju di belakang (urat tegang) 2017
8) cepat marah, moody
9) tangan selalu kebas dan cepat lenguh walaupun pegang mouse komputer sekejap sahaja.

Itu adalah antara sakit-sakit yang telah lama saya simpan dan alhamdulillah makcik dapat betulkan urat yg berkenaan. Perkara yang baik mengenai makcik ini saya kongsikan bersama kawan-kawan saya dan saudara-mara supaya mereka dapat mengambil manfaat bersama. Saya nampak kesungguhan dan keikhlasan makcik membantu pelanggan-pelanggannya yang bermasalah.

Tidak semua orang berani untuk berurut, dan tidak semua orang suka untuk berurut. Mungkin sesetengah orang tidak tahan sakit dengan urutan badan dan guna cara lain untuk merawat badan mereka. Di sini saya kongsikan kebaikan berurut supaya orang boleh mempertimbangkan urut sebagai alternatif kesihatan tubuh badan:
  • Berurut melancarkan peredaran darah dan memperbaiki sistem tubuh. Melalui urutan yang betul, oksigen dan nutrisi pemakanan akan mudah sampai ke seluruh badan.
  • Berurut menjadikan badan segar dan tubuh terasa ringan
  • Meningkatkan daya tahan penyakit
  • Membantu proses penyembuhan penyakit menjadi lebih mudah
  • Membantu baikpulih masalah sukar tidur
  • Hilangkan lesu dan kerap mengantuk.
  • Meningkatkan pembakaran dan kadar metabolisma tubuh - sebab tu lepas urut cepat rasa lapar dan dahaga
  • Membantu mengembalikan fleksibiliti otot yg tegang yg menyebabkan pergerakan menjadi bermasalah.
  • Menambah kekuatan otot apabila darah menjadi lancar dan otot fleksibel selepas berurut.
  • Urutan juga meransang pengeluaran hormon endorfin (anti stress). Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa urut mengurangkan jumlah hormon stres kortisol, dan meningkatkan jumlah serotonin dan dopamin.
Jika ingin berurut, pilihlah tukang urut dengan betul dan waspada supaya kita berpuas hati dengan perkhidmatan dan harga yang ditawarkan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam memilih tukang urut :
1) Pastikan tukang urut dicadangkan oleh kawan-kawan yang pernah guna khidmat beliau.
2) Berpengalaman dan mempunyai pendidikan dalam bidang urutan,
3) Pilih tukang urut yang mengamalkan kebersihan diri, seperti berkuku pendek dan tidak memakai aksesori yang boleh ganggu proses urutan,
4) Pilih tukang urut yang beragama Islam.
5) Pilih yang berhampiran dengan kawasan kediaman jika ada.
6) Pilih pakej yang telus dan tiada kos yang tersembunyi.

Sekian sahaja perkongsian saya mengenai topik urut. Semoga bermanfaat. Sekiranya anda mencari tukang urut dan ingin mencuba tukang urut pilihan saya boleh tinggalkan no telefon di ruangan komen.

Salam Sayang ❤







MENGAPA SAYA MEMILIH VITAMIN SHAKLEE

1) PRODUK SHAKLEE SUDAH WUJUD LEBIH 100 TAHUN  Tahukah anda, multivitamin pertama di dunia iaitu VITALIZED MINERALS dicipta oleh Dr. Forrest...