Tubuh badan kita adalah amanah dari Allah. Kita bertanggungjawab untuk memastikan tubuh badan kita sihat dan mengamalkan cara hidup sihat. Dengan tubuh badan yang sihat, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kehidupan dan agama dengan lebih sempurna.
Penjagaan badan dan kesihatan bagi wanita adalah sesuatu yang penting. Selain mengamalkan pemakanan yang sihat, mengambil makanan tambahan dan bersukan, berurut juga salah satu penjagaan tubuh yang penting untuk wanita.
Berurut merupakan salah satu kaedah perubatan alternatif untuk melancarkan aliran darah di dalam salur darah bagi melegakan kesakitan. Sejak remaja saya sudah biasa dengan urut badan tambahan pula nenek saya seorang tukang urut dan bidan kampung.
Banyak kenangan dengan arwah nenek. Teringat ketika kaki saya terseliuh kerana jatuh dari basikal, neneklah yang mengurut saya. Pernah juga di satu pagi raya kaki saya tersadung gunting kain makcik saya yang juga seorang tukang jahit. Darah banyak keluar di tapak kaki, nenek cepat-cepat tekan tapak kaki saya, letak minyak dan terkumat-kamit mulutnya membaca doa. Selepas seketika darah pun berhenti, nenek balut kaki saya dan dapatlah saya berbasikal keliling kampung berhari raya dan kutip duit raya.
Pertama kali bertindik juga dengan arwah nenek. Hanya dengan menggunakan jarum dan benang jahit. Arwah nenek urut-urut di tempat yang hendak ditindik sambil baca doa dan kemudian menyucuk tempat tersebut dengan jarum. Sekejap sahaja sudah selesai tanpa berdarah. Itulah antara kenangan dengan arwah nenek. Namun, saya tidak sempat berurut dengan arwah nenek selepas bersalin kerana arwah nenek telah pergi meninggalkan kami ketika saya masih belajar di kolej.
Saya mula berurut dengan tukang urut selain arwah nenek saya selepas melahirkan anak yang pertama. Kebiasaannya wanita akan menggunakan khidmat tukang urut semasa di dalam pantang untuk memulihkan tenaga, menghilangkan ketidakselesaan dan sakit badan selepas melahirkan, menggalakkan pengeluaran susu dan melancarkan perjalanan darah.
Sejak itu saya kerap berurut dan bertukar tukang urut. Bermacam ragam tukang urut dan cara urutan sudah saya rasai. Sehinggalah 2 tahun lepas setelah saya diperkenalkan dengan makcik Mashitah seorang tukang urut di Kampung Jawa, Klang, saya sudah tidak bertukar tukang urut lagi. Hampir setiap bulan saya akan memandu ke Klang untuk mendapatkan khidmat makcik Mashitah.
Saya sangat berpuas hati dengan urutan makcik Mashitah. Alhamdulillah, dengan izin Allah banyak masalah urat saraf yang saya alami sembuh dengan teknik urutan makcik . Makcik tidak mengambil masa yang lama untuk urut setiap orang pelanggannya. Namun masa setengah jam berurut dengan makcik sudah cukup membuatkan pelanggannya merasai kelainan pada tubuh mereka. Makcik mengurut dengan memberi fokus kepada urat saraf yang bermasalah. Makcik juga tahu bahagian mana yang wajar diurut dan urat yang berkaitan dengan kawasan yang sakit. Selain berurut, ada disediakan sauna dan lulur badan.
Hasil bacaan saya mendapati bahawa cara urutan yang digunakan makcik adalah cara yang betul.
Artikel yang saya baca memberi tips cara mengenali tukang urut yang berpengalaman. Jika tukang urut itu seorang yang berpengalaman luas dalam ilmu perurutan, dia akan sentuh 4 tempat penting semasa berurut iaitu :
1) perut
2) punggung
3) celah kangkang
4) bawah ketiak
Di bawah saya senaraikan antara sakit urat yang saya alami dan telah sembuh dan berkurangan sakitnya sejak berurut dengan makcik Mashitah:
1) terlampau banyak angin di dalam badan -kerap sengal dan lenguh badan.
2) selalu sakit leher sehingga leher tidak boleh digerakkan
3) selalu sakit di bahagian tulang belikat
4) urat terkehel di bahagian kaki kerana pernah terjelepok jatuh ketika sedang mendukung anak tahun 2012
5) pernah demam urat ketika dalam pantang anak kedua (bentan) 2001
6) pernah tiba-tiba cramp badan tidak dapat bergerak ketika sedang mencuci pinggan 2017
7) tangan tak sampai untuk zip baju di belakang (urat tegang) 2017
8) cepat marah, moody
9) tangan selalu kebas dan cepat lenguh walaupun pegang mouse komputer sekejap sahaja.
Itu adalah antara sakit-sakit yang telah lama saya simpan dan alhamdulillah makcik dapat betulkan urat yg berkenaan. Perkara yang baik mengenai makcik ini saya kongsikan bersama kawan-kawan saya dan saudara-mara supaya mereka dapat mengambil manfaat bersama. Saya nampak kesungguhan dan keikhlasan makcik membantu pelanggan-pelanggannya yang bermasalah.
Tidak semua orang berani untuk berurut, dan tidak semua orang suka untuk berurut. Mungkin sesetengah orang tidak tahan sakit dengan urutan badan dan guna cara lain untuk merawat badan mereka. Di sini saya kongsikan kebaikan berurut supaya orang boleh mempertimbangkan urut sebagai alternatif kesihatan tubuh badan:
- Berurut melancarkan peredaran darah dan memperbaiki sistem tubuh. Melalui urutan yang betul, oksigen dan nutrisi pemakanan akan mudah sampai ke seluruh badan.
- Berurut menjadikan badan segar dan tubuh terasa ringan
- Meningkatkan daya tahan penyakit
- Membantu proses penyembuhan penyakit menjadi lebih mudah
- Membantu baikpulih masalah sukar tidur
- Hilangkan lesu dan kerap mengantuk.
- Meningkatkan pembakaran dan kadar metabolisma tubuh - sebab tu lepas urut cepat rasa lapar dan dahaga
- Membantu mengembalikan fleksibiliti otot yg tegang yg menyebabkan pergerakan menjadi bermasalah.
- Menambah kekuatan otot apabila darah menjadi lancar dan otot fleksibel selepas berurut.
- Urutan juga meransang pengeluaran hormon endorfin (anti stress). Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa urut mengurangkan jumlah hormon stres kortisol, dan meningkatkan jumlah serotonin dan dopamin.
1) Pastikan tukang urut dicadangkan oleh kawan-kawan yang pernah guna khidmat beliau.
2) Berpengalaman dan mempunyai pendidikan dalam bidang urutan,
3) Pilih tukang urut yang mengamalkan kebersihan diri, seperti berkuku pendek dan tidak memakai aksesori yang boleh ganggu proses urutan,
4) Pilih tukang urut yang beragama Islam.
5) Pilih yang berhampiran dengan kawasan kediaman jika ada.
6) Pilih pakej yang telus dan tiada kos yang tersembunyi.
Sekian sahaja perkongsian saya mengenai topik urut. Semoga bermanfaat. Sekiranya anda mencari tukang urut dan ingin mencuba tukang urut pilihan saya boleh tinggalkan no telefon di ruangan komen.
Salam Sayang ❤
No comments:
Post a Comment