Sunday, March 8, 2020

AMALAN ZIKIR DAN DOA AWET MUDA


Cantik luar dan cantik dari dalam itulah kesempurnaan wanita.
Wanita muslimah, kecantikan dari luar harus disertai dengan akhlak yang baik.
Tips cantik untuk muslimah yang sebenarnya adalah apabila kita taat pada perintah agama.
Mencantikkan diri adalah sunnah dalam islam. Allah Maha Indah dan mencintai keindahan, Namun dalam mempercantikkan diri ada batas-batasnya.
Bersyukur  dengan apa yang ada pada diri, senyum dan banyakkan beribadah , kecantikan abadi akan terserlah di wajah. InsyaAllah.

CARA 1
Dilakukan selepas solat Isya'
-Ambil segelas air
-Baca AlFatihah 1x
-Baca Ayat Qursi 1x
-Surah AlWaqiah ayat 35-38 sebanyak 7x

A035
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

A036
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh)

A037
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.

A038
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan

-Tiup dalam air dan minum.
(Niat dalam hati untuk menjaga kecantikan diri dan untuk kebahagiaan rumah tangga.)

(Dikongsikan oleh Dr Fatima El Zahrah)

CARA 2
Zikir di bawah dibaca untuk kita sentiasa kelihatan berseri, awet muda luaran dan dalaman, amalkan membaca zikir dengan cara seperti berikut :
Baca  YA BADIYAH  1x
Baca  YA NUR  1x
Baca  YA HADI  1x
Baca  YA ALLAH  3x

Baca zikir di atas dan tiup ke tapak tangan, kemudian sapu ke muka kita. Lakukan setiap hari.

CARA 3
Amalkan membaca ayat2 seperti berikut ;

Doa Pemanis Wajah Surah AlWaqiah ayat 35-38

A035
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

A036
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh)

A037
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.

A038
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan

Doa agar terlihat cantik setiap hari Surah Yusuf ayat 4

A004

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".


Setiap hari bangunlah sebelum azan subuh

Setelah berwudhu baca doa selepas wudhu dan doa pemanis wajah sebanyak 3X,
tiupkan di telapak tangan lalu usapkan ke wajah

Setelah salam (solat subuh) bacalah doa agar terlihat cantik setiap hari sebanyak 4X lalu tiupkan di telapak tangan dan usapkan ke wajah

Lakukan rutin setiap hari untuk mendapatkan wajah cerah, cantik dan berseri secara alami dari dalam.

Banyakkan berdoa sebagai pengungkapan rasa syukur kita kepada Yang Maha Kuasa atas apa yang telah Allah beri kepada kita semua.

Antara doa yang kita baca untuk ungkapkan rasa syukur kita ialah doa melihat cermin.

Doa ini juga selain dari bersyukur dengan kurniaan Ilahi berfungsi juga untuk memperbaiki rupa dan dan akhlak kita.


اَلْحَمْدُ ِللهِ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِىْ  فَحَسِّـنْ خُلُقِىْ

"Segala puji bagi Allah, elokkanlah budi pekertiku sebagaimana Engkau telah membaguskan rupa wajahku"

atau baca doa ini,

                                                                     اَللّٰهُمَّ كَمَا حَسَّـنْتَ خَلْقِـيْ فَحَسِّـنْ خُلُقِـيْ


"Ya Allah sebagaimana Engkau telah ciptakan aku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku"

Amalkan secara istiqamah.
Semoga Bermanfaat dan menjadi amalan.




Wednesday, February 26, 2020

Dengar dan Mendengar


A Lesson in Listening.

Teringat kisah seorang Salesman  terkenal yg bernama Joe Girard. 

Pada suatu hari seorang kontraktor terkenal bernama Dominic datang berjumpa Joe Girard untuk membeli trak model terbagus dan termahal. 

Selepas melakukan semua steps yang perlu termasuk demo ride, lalu Joe dengan konfiden menghulurkan pen untuk prospeknya menandatangan borang urusan pembelian.

Prospeknya kelihatan teragak-agak dan seperti keberatan untuk menurunkan tandatangan. Kemudian, Dominic menolak dengan sopan, berundur diri dan keluar dari pejabat Joe.

Joe sangat terkesan sekali dengan kegagalannya berurusniaga hari tu. Pada petangnya dia menelefon Dominic dan bertanya apa yang membuat Dominic  berubah fikiran. 

"Dominic, apa yg berlaku, kenapa awak tiba-tiba menukar fikiran?"

"Adakah awak serius? Sekarang awak mahu mendengar apa yang saya ingin katakan?"  jawab Dominic.

"Saya sedia mendengar." Kata Joe.

"Tetapi awak langsung tidak mendengar apa yang saya katakan pagi tadi." Jawab Dominic.


Rupanya sewaktu mereka berjumpa pagi tadi, Dominic sudah pun membuat keputusan untuk membeli trak itu.

Namun, dalam keadaan yang masih ragu-ragu dengan pembeliannya Dominic mula bercerita tentang  kejayaan anak lelakinya yang sedang belajar dalam bidang kedoktoran.

Dominic berkata bahawa dia rasa bangga dengan pencapaian anaknya dalam bidang akademik, atletik dan bidang kedoktoran yang diceburi anaknya. 

Namun, Dominic perasan bahawa Joe tidak  berminat dengan perkara penting yang sangat dekat di hatinya.

Joe mengaku bahawa dia tak ingat langsung tentang cerita mengenai anak Dominic itu.

Sememangnya pada waktu itu Joe tidak fokus dan tak kisah pun kerana dia rasa perkara tersebut tidak penting. 

Pada Joe pula ketika itu dia sudah hampir berjaya menamatkan urusniaganya dengan Dominic seorang pelanggan berduit yang mahu membeli trak. 

Sebenarnya pada saat yang genting dan penting itu, Joe perlu beri lebih perhatian kepada perasaan Dominic dan perkara yang dia sayangi berbanding dengan hal kenderaan yang hendak dijualnya.

"Saya telah buat silap besar!!!." Kata hati Joe.

Oleh kerana itu Joe Girard selalu berpesan berulang kali bahawa produk atau servis yang pelanggan beli adalah KITA sebelum perkara lain.  Jadi pada hari dia telah melakukan kesilapan besar itu sebenarnya dia sedang "menjual" dirinya bersama dengan kenderaan yang dijualnya. 

Di akhir perbualan telefon itu Joe telah meminta maaf kepada Dominic kerana tidak memberi perhatian dan tidak sensitif kepada perasaan Dominic dan Joe berterima kasih kerana Dominic berterus terang dengannya. Dan Joe mengakhiri perbualan dengan harapan Dominic akan datang lagi ke kedainya dan membeli trak daripada beliau. 

Daripada pengalamannya sendiri, Joe Girard belajar 2 perkara. Pertama, kegagalan mendengar perkara penting boleh membuatkan dia kehilangan urusniaga. Kedua, jika Joe benar-benar belajar sepenuh hati dari pengalaman yang dia lalui, mungkin dia akan dapat menebus kembali urusniaga yang terlepas. 

Sebelum kita menjadi pendengar yang baik, kita haruslah memberi sepenuh perhatian ikhlas kepada apa yang pelanggan kita tuturkan. Betul-betul fokus dan tumpu perhatian kepada perkara yang disampaikan oleh pelanggan. 

Jika ada orang bertanya: "Bagaimana anda boleh menjadi seorang salesman yang terkenal?"
"Saya bermula dengan menjadi pendengar yang baik", kata Joe Girard. 

Hakikatnya sebab itulah Allah menciptakan manusia dengan dua telinga dan satu mulut supaya kita lebih banyak mendengar dan menjadi pendengar yang baik daripada lebih banyak berkata-kata. 

Dari kisah ini juga saya belajar seharusnya kita gunakan dua telinga anugerah Allah ini untuk mendengar nasihat dan ajaran yang baik. 

Kurangkan bercakap perkataan yang tidak membawa faedah pada diri apatah lagi kepada orang lain. Alangkah ruginya, Allah anugerahkan dua telinga  tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya.

Banyakkan mendengar daripada berkata-kata. 
Dengar pandangan orang lain dan jangan hanya mahu di dengar sahaja.

Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut apa yang terbaiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [Al-Zumar 39 : 18]




Monday, January 20, 2020

Rutin pagi bersama anak



Tanggungjawab ibu bapa sangatlah penting dalam pembesaran anak-anak. Tugas ibu bapa bukan sekadar memberi makan minum, perlindungan dan tempat tinggal tetapi juga memberi pendidikan yang terbaik, sebagai role model terbaik dan memupuk sifat-sifat murni dalam diri anak-anak.

Kita sebagai ibu bapa juga sangat berperanan penting dalam membentuk adab dan tingkah laku anak-anak. Sentiasalah beri tunjuk ajar, panduan dan nasihat kepada anak-anak dalam menjalani kehidupan harian.

Sebagai ibu yang tidak bekerja, saya mengambil peluang bermula seawal pagi menerapkan amalan harian kepada anak saya. Saya cuba manfaatkan masa bersama anak di dalam kereta sewaktu menghantar nya ke sekolah.

Masuk sahaja ke dalam kereta, Ayra sudah tahu apa yang perlu dibuat. Saya hanya perlu ingatkan, "Baca doa." Atau tanya Ayra, "Dah baca doa?". Kadang jawapannya sekejap, belum, atau tengah baca.

1) Apabila masuk dalam kereta , Ayra akan mula dengan doa keluar rumah.

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
(Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuatan Allah)

2) Kemudian Ayra akan baca doa menaiki kenderaan.

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ. سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ. (al-Zukhruf 13-14)
(Segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami,sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya)

3) Selepas itu Ayra baca Al Fatihah 3 kali.
Al Fatihah pertama Ayra hadiahkan kepada junjungan besar Rasulullah dan kaum kerabat baginda

Al Fatihah kedua Ayra hadiahkan kepada kedua ibu bapanya dan adik beradik dan diri sendiri.

Dan Al Fatihah ke tiga Ayra hadiahkan kepada muslimin muslimat yang hidup dan yg telah meninggal dunia.

4) Habis Al Fatihah Ayra berniat.
"Ya Allah, aku mulakan segala perbuatan aku pada hari ini dan keseluruhan hidup aku dengan
    -بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ-
Kau pandulah dan gerakkanlah segala perbuatan aku ke arah yang bermanfaat dan Kau jadikanlah ia amal soleh."

5) Saya pesan supaya Ayra baca ayat kursi sebagai pelindung diri.

6) Ditambah lagi dengan doa memohon perlindungan dan pengawasan dari Allah

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلا فِي الْسَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.    
(Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui.)

Tak habis lagi.

7) Doa seterusnya yang Ayra baca ialah doa belajar.

Allahummanfa'na bima 'allamtana wa 'allimna ma yanfa 'una wa zidna ilma.

(Ya Allah, berilah manfaat kepada kami dengan apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami dan ajarkanlah kepada kami apa yang mendatangkan manfaat
Sahaja kepada kami dan tambahkanlah kami ilmu)

8) Saya juga ingatkan Ayra supaya sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW paling kurang 10 kali supaya di akhirat nanti Nabi akan kenal kita dan beri syafaat kepada kita. InsyaAllah.

9) Ayra juga baca : 
 “Radhitu Billahi Rabba, Wa Bil islami Dina, Wabi Muhammadiin Nabiyya Wa Rasula” 

(Aku Ridho Allah Subhanahu wata'ala sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, Muhammad Shallallahu alaihi wasallam sebagai nabi dan rasulku). 

IKRAR  untuk dapat meraih Ridho Allah. 

10) Alhamdulillah Ayra juga sudah hafal doa Abu Darda sebagai perlindungan diri, keluarga dan harta benda.

Doa ini bermaksud,
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan bagiku kecuali hanya Engkau.Pada-Mu aku bertawakkal, dan Engkau Tuhan Arasy yang agung.Apa yang dikehendaki Allah pasti terjadi,Dan apa yang tidak dikehendaki-Nya pasti pula tidak akan terjadi.Tiadalah daya upaya dan tiada pula kekuatan kecuali hanya dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.Aku yakin, bahawasanya Allah berkuasa atas segala sesuatuDan bahawasanya Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmunya.Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan dirikuDan dari kejahatan segala makhluk yang melata, Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya.Sesungguhnya Tuhanku sentiasa berada di jalan yang lurus.

Doa ini  telah diajarkan kepada Abu Darda oleh Rasulullah S.A.W.
Didalam suatu riwayat dikatakan bahawa beliau dimaklumkan oleh seseorang yang rumah beliau sedang terbakar. Abu Darda r.a dengan yakin mengatakan yang rumahnya tidak terbakar, kerana menurut beliau Rasulullah S.A.W telah mengajarkan beliau satu doa yang kalau dibaca selepas Subuh, si pembaca akan terselamat dari semua bala dan musibah sehingga waktu petang.
Boleh diamalkan selepas subuh dan selepas asar agar diri kita, ahli keluarga dan harta dipelihara oleh Allah.
Sampai sahaja di sekolah kami akan bersalaman. Saya peluk Ayra dan bacakan 2 doa untuknya sambil pegang ubun-ubunnya.

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

Allahumma faqqihha fiddin wa a'llimhattakwil
(Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil)

dan  ayat surah Al Mulk 67:14

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ‌ ﴿١٤

(Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!)

Ayat ini khasiatnya supaya anak kita tajam kuat akal fikiran dalam memahami menghafaz dan mengingati pelajarannya.

Doa adalah senjata kita. Semoga dengan doa-doa yang diamalkan menjadikan kebergantungan diri kepada Allah melebihi segala-galanya.

Selaku hamba, kita sentiasa memohon perlindungan dari Allah swt dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.

Kita tidak dapat menjaga dan mengawasi anak kita setiap masa maka kepada Allah Ya Hafidz Ya Muhaimin jualah kita berharap.

Semoga anak-anak kita sentiasa dalam pengawasan dan lindungan Yang Maha Esa.

Allahhumma Aamin.

Sunday, January 19, 2020

Pengalaman Dan Kisah Berurut



Tubuh badan kita adalah amanah dari Allah. Kita bertanggungjawab untuk memastikan tubuh badan kita sihat dan mengamalkan cara hidup sihat. Dengan tubuh badan yang sihat, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kehidupan dan agama dengan lebih sempurna.

Penjagaan badan dan kesihatan bagi wanita adalah sesuatu yang penting. Selain mengamalkan pemakanan yang sihat, mengambil makanan tambahan dan bersukan, berurut juga salah satu penjagaan tubuh yang penting untuk wanita.

Berurut merupakan salah satu kaedah perubatan alternatif untuk melancarkan aliran darah di dalam salur darah bagi melegakan kesakitan. Sejak remaja saya sudah biasa dengan urut badan tambahan pula nenek saya seorang tukang urut dan bidan kampung.

Banyak kenangan dengan arwah nenek. Teringat ketika kaki saya terseliuh kerana jatuh dari basikal, neneklah yang mengurut saya. Pernah juga di satu pagi raya kaki saya tersadung gunting kain makcik saya yang juga seorang tukang jahit. Darah banyak keluar di tapak kaki, nenek cepat-cepat tekan tapak kaki saya, letak minyak dan terkumat-kamit mulutnya membaca doa. Selepas seketika darah pun berhenti, nenek balut kaki saya dan dapatlah saya berbasikal keliling kampung berhari raya dan kutip duit raya.

Pertama kali bertindik juga dengan arwah nenek. Hanya dengan menggunakan jarum dan benang jahit. Arwah nenek urut-urut di tempat yang hendak ditindik sambil baca doa dan kemudian menyucuk tempat tersebut dengan jarum. Sekejap sahaja sudah selesai tanpa berdarah. Itulah antara kenangan dengan arwah nenek. Namun, saya tidak sempat berurut dengan arwah nenek selepas bersalin kerana arwah nenek telah pergi meninggalkan kami ketika saya masih belajar di kolej.

Saya mula berurut dengan tukang urut selain arwah nenek saya selepas melahirkan anak yang pertama. Kebiasaannya wanita akan menggunakan khidmat tukang urut semasa di dalam pantang untuk memulihkan tenaga, menghilangkan ketidakselesaan dan sakit badan selepas melahirkan, menggalakkan pengeluaran susu dan melancarkan perjalanan darah.

Sejak itu saya kerap berurut dan bertukar tukang urut. Bermacam ragam tukang urut dan cara urutan sudah saya rasai. Sehinggalah 2 tahun lepas setelah saya diperkenalkan dengan makcik Mashitah seorang tukang urut di Kampung Jawa, Klang, saya sudah tidak bertukar tukang urut lagi. Hampir setiap bulan saya akan memandu ke Klang untuk mendapatkan khidmat makcik Mashitah.

Saya sangat berpuas hati dengan urutan makcik Mashitah. Alhamdulillah, dengan izin Allah banyak masalah urat saraf yang saya alami sembuh dengan teknik urutan makcik . Makcik tidak mengambil masa yang lama untuk urut setiap orang pelanggannya.  Namun masa setengah jam berurut dengan makcik sudah cukup membuatkan pelanggannya merasai kelainan pada tubuh mereka.  Makcik mengurut dengan memberi fokus kepada urat saraf yang bermasalah. Makcik juga tahu bahagian mana yang wajar diurut dan urat yang berkaitan dengan kawasan yang sakit. Selain berurut, ada disediakan sauna dan lulur badan.

Hasil bacaan saya mendapati bahawa cara urutan yang digunakan makcik adalah cara yang betul.
Artikel yang saya baca memberi tips cara mengenali tukang urut yang berpengalaman. Jika tukang urut itu seorang yang berpengalaman luas dalam ilmu perurutan, dia akan sentuh 4 tempat penting semasa berurut iaitu :
1) perut
2) punggung
3) celah kangkang
4) bawah ketiak

Di bawah saya senaraikan antara sakit urat yang saya alami dan telah sembuh dan berkurangan sakitnya sejak berurut dengan makcik Mashitah:
1) terlampau banyak angin di dalam badan -kerap sengal dan lenguh badan.
2) selalu sakit leher sehingga leher tidak boleh digerakkan
3) selalu sakit di bahagian tulang belikat
4) urat terkehel di bahagian kaki kerana pernah terjelepok jatuh ketika sedang mendukung anak tahun 2012
5) pernah demam urat ketika dalam pantang anak kedua (bentan) 2001
6) pernah tiba-tiba cramp badan tidak dapat bergerak ketika sedang mencuci pinggan 2017
7) tangan tak sampai untuk zip baju di belakang (urat tegang) 2017
8) cepat marah, moody
9) tangan selalu kebas dan cepat lenguh walaupun pegang mouse komputer sekejap sahaja.

Itu adalah antara sakit-sakit yang telah lama saya simpan dan alhamdulillah makcik dapat betulkan urat yg berkenaan. Perkara yang baik mengenai makcik ini saya kongsikan bersama kawan-kawan saya dan saudara-mara supaya mereka dapat mengambil manfaat bersama. Saya nampak kesungguhan dan keikhlasan makcik membantu pelanggan-pelanggannya yang bermasalah.

Tidak semua orang berani untuk berurut, dan tidak semua orang suka untuk berurut. Mungkin sesetengah orang tidak tahan sakit dengan urutan badan dan guna cara lain untuk merawat badan mereka. Di sini saya kongsikan kebaikan berurut supaya orang boleh mempertimbangkan urut sebagai alternatif kesihatan tubuh badan:
  • Berurut melancarkan peredaran darah dan memperbaiki sistem tubuh. Melalui urutan yang betul, oksigen dan nutrisi pemakanan akan mudah sampai ke seluruh badan.
  • Berurut menjadikan badan segar dan tubuh terasa ringan
  • Meningkatkan daya tahan penyakit
  • Membantu proses penyembuhan penyakit menjadi lebih mudah
  • Membantu baikpulih masalah sukar tidur
  • Hilangkan lesu dan kerap mengantuk.
  • Meningkatkan pembakaran dan kadar metabolisma tubuh - sebab tu lepas urut cepat rasa lapar dan dahaga
  • Membantu mengembalikan fleksibiliti otot yg tegang yg menyebabkan pergerakan menjadi bermasalah.
  • Menambah kekuatan otot apabila darah menjadi lancar dan otot fleksibel selepas berurut.
  • Urutan juga meransang pengeluaran hormon endorfin (anti stress). Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa urut mengurangkan jumlah hormon stres kortisol, dan meningkatkan jumlah serotonin dan dopamin.
Jika ingin berurut, pilihlah tukang urut dengan betul dan waspada supaya kita berpuas hati dengan perkhidmatan dan harga yang ditawarkan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam memilih tukang urut :
1) Pastikan tukang urut dicadangkan oleh kawan-kawan yang pernah guna khidmat beliau.
2) Berpengalaman dan mempunyai pendidikan dalam bidang urutan,
3) Pilih tukang urut yang mengamalkan kebersihan diri, seperti berkuku pendek dan tidak memakai aksesori yang boleh ganggu proses urutan,
4) Pilih tukang urut yang beragama Islam.
5) Pilih yang berhampiran dengan kawasan kediaman jika ada.
6) Pilih pakej yang telus dan tiada kos yang tersembunyi.

Sekian sahaja perkongsian saya mengenai topik urut. Semoga bermanfaat. Sekiranya anda mencari tukang urut dan ingin mencuba tukang urut pilihan saya boleh tinggalkan no telefon di ruangan komen.

Salam Sayang ❤







MENGAPA SAYA MEMILIH VITAMIN SHAKLEE

1) PRODUK SHAKLEE SUDAH WUJUD LEBIH 100 TAHUN  Tahukah anda, multivitamin pertama di dunia iaitu VITALIZED MINERALS dicipta oleh Dr. Forrest...